Thursday 3 December 2015

Dalam Gema Islam

Kita insan terpilih
Disebut dalam al-Quran dengan mulia
Jagailah peluang itu sebaiknya.

Alhamdulilah, mari kita ucapkan kalimah syukur ini berkali-kali, biar bergema di dalam hati. Bersyukur kerana satu rahmat besar diizin-NYA turun kepada kita, iaitu dilahirkan sebagai seorang beragama Islam. Islam adalah agama sebenar-benarnya. Bukan agama berasaskan nenek moyang yang di warisi secara turun-temurun. Lahir dalam agama ini adalah rahmat. Meneruskan agama ini adalah kemuliaan. Memupuk agama ini di dalam jiwa, itulah jihad paling besar.

Kita seorang perempuan. Kita juga beragama Islam. Maka kita ialah seorang muslimah. Ada orang yang akan membantah. Katanya, aku tidak warak jadi tidak digelar muslimah. Ehh .. usahlah sensitif sangat! Muslimah itu perkataan Arab. Maksudnya, tidak lain tidak bukan.. perempuan beragama Islam. Terma ini tidak ada kaitan pun dengan warak atau tidak warak. Lainlah jika perkataan mukminah. Itu maksudnya perempuan yang beriman dan warak.

Sesungguhnya, terma mukminah inilah yang belum layak disandang oleh ramai perempuan. Malah, ada yang tidak suka!Dalam facebook, ana sering bersembang dengan rakan-rakan. Biasalah, bermacam-macam karakter mereka kerana dilahirkan dengan latar belakang berbeza. Kebanyakannya berstatus anak orang berada. Tidak pernah langsung mengenal erti susah.

Ada rakan ana yang sangat moden ini cepat melatah apabila ana bertanya, "Kenapa awak pakai tudung masa bulan puasa saja? Ana tengok awak lebih cantik dan manis jika bertudung."Alah huda.. saya malulah. Saya belum bersedia nak pakai tudung sepenuh masa. Lagipun, saya bukanlah perempuan beriman. Noktah!

Astaghfirullahalazim.. pengankuannya itu amat menyentap dada. Apakah dia ingat, iman itu boleh dibuat mainan? Jika malu hendak mengaku sebagai perempuan yang warak sekalipun, tidak perlulah menyebut 'bukan perempuan beriman'! Mungkin sahabat ana, beriman bermaksud sopan santun, memakai tudung dan hidup berlandaskan syariat secara sepenuhnya. Sedangkan dia masih muda, masih mahu bebas bersuka ria dan tidak dikonkong oleh batas syariat.

Walau apa sekalipun tafsirannya, ana kira pegangannya salah. Jika masih belum mahu mentaati ajaran Islam sepenuhnya, usahlah sampai berani melabel diri sesuka hati, bimbang akan menjadi syirik pulak nanti. Kita dilahirkan beragama Islam, jadi usah sesekali mensia-siakannya. Islam sudah ada dalam diri, ketika masih dalam kandungan ibu lagi. Iman juga sudah ada walaupun senipis kulit bawang. Jadi ia perlu digilap dan dijaga biar bergemerlap di dalam diri. Usah biarkan ia pudar hingga lama-kelamaan menjadi kelabu dan gelap. Akhirnya, hati akan kering dan mati.

Srikandi Islam pada zaman silam semuanya berlumba-lumba hendak mencapai title mukminah ini. Jadi, kita juga mesti mencontohi mereka. Bukan apa, kerana wanitta beriman banyak disebut di dalam al-Quran. Jaminan keuntungan untuk wanita beriman sangatlah banyak. Wanita beriman juga amat dirindui oleh syurga-Nya.

Islam adalah satu-satunya agama yang diterima dan diredhai oleh ALLAH SWT seperti firman-NYA dalam Surah Ali Imran ayat 19 yang bermaksud: Sesungguhnya agama yang benar dan diredhai di sisi ALLAH ialah Islam.

Akuilah, apa yang diajar oleh agama kita ini cukup indah dan mudah. Saat ini, kita hanya perlu menerima dan boleh mengamalkannya sahaja secara terbuka. Tidak sama seperti srikandi Islam zaman lampau yang hanya boleh mengamalkan Islam secara sembunyi kerana bimbang diseksa malah ketika mula hendak menyebarkan Islam, Rasulullah s.a.w sendiri pernah dicerca dan dipulaukan oleh kaumnya sendiri.

Islam maksudnya sejahtera. Jadi, apabila kita mengaku diri sebagai muslimah, maka kita sudah masuk dalam golongan yang selamat dan sejahtera. Kemudian, apabila kita mengamalkan semua perintah dan meninggalkan semua larangan, kita semakin menghampiri taraf seorang mukminah, iaitu wanita yang beriman pula. Ya ! semudah itu sebenarnya, jika kita tidak membantah suruhan-NYA ! 

Allah Huma Soli Ala Muhammad , Wa Ala Muhammad .

0 comments:

Post a Comment

 
Template Edited by Miss Pelangy| All Rights Reserved And Protected |