Bagaimana rasa kita bila mulut
yang pernah kita suap tiba-tiba menggigit kita ? Atau bila seorang yang
lemah lembut kononnya datang hendak membantu kita tetapi punya seribu
satu rencana rahsia untuk menjatuhkan kita? Atau dia yang begitu memuji
memuja bila berhadapan mata tetapi menikam dengan belati umpatan dan
celaan ketika di belakang kita? Atau kita berdepan dengan “pelakon”
handalan yang pandai sekali bermuka-muka tetapi penuh dengan strategi
dan dendam untuk menghancurkan keperibadian atau karier kita ? Jawabnya…
JANGAN MARAH!
Kemarahan kita kepada seseorang akan memudaratkan kita sendiri lebih
daripada orang yang kita marahkan. Justeru, memaafkan adalah langkah
yang paling baik – bukan sahaja untuk orang lain tetapi untuk diri kita
sendiri. Ertinya, memaafkan orang lain samalah seperti memaafkan diri
sendiri. Diri kita akan menjadi lebih tenang, ceria dan stabil apabila
memaafkan ’musuh-musuh’ kita.
Menurut ajaran Islam , kemarahan berasal daripada syaitan, dan syaitan
berasal daripada api. Api itu panas dan membakar. Bahangnya akan
menyebabkan pertimbangan hati, akal dan perasaan kita tidak seimbang –
sepertimana molekul cecair atau gas apabila dipanaskan. Malah, ada kesan
biologi yang negatif apabila kita marah – degupan jantung, aliran
darah, retina mata dan rembesan hormon berubah daripada biasa. Muka
menjadi merah, telinga menjadi panas, gigi serta bibir mengetap…
Benarlah seperti yang dianjurkan oleh Imam Ghazali apabila seseorang itu
marah ” pandang betapa hodoh wajahmu di muka cermin!”
Namun, siapakah yang tidak pernah marah? Marah itu sebahagian daripada
sifat tabi’e manusia. Tanpa marah, manusia bukan manusia lagi. Justeru,
marah itupun satu anugerah. Dengan adanya sifat marah, timbullah
semangat mempertahankan diri, keluarga bahkan agama. Ringkasnya, marah
itu ada yang terpuji, ada yang dikeji. Marah yang terpuji bila sesuai
pada tempat, sebab dan keadaannya.
Bila agama dikeji, kita mesti marah. Ketika itu jika kita tidak marah,
Allah akan marahkan kita. Sebaliknya, bila diri peribadi kita yang
dikeji, dianjurkan supaya bersabar. Ini soal personal. Memaafkan, lebih
utama. Sayangnya, hal yang sebaliknya selalu berlaku. Bila agama dikeji,
kita selamba. Bila diri dikeji, marah kita seakan menggila.
Bagaimana kita boleh menteladani Sayidina Ali r.a. yang masih mampu
membezakan ’jenis’ marahnya di saat kritikal? Ketika dia diludah oleh
musuhnya sewaktu hendak memancung kepala musuh tersebut, Sayyidina Ali
tiba-tiba berhenti justeru merasakan marahnya bukan lagi atas semangat
jihad fisabilillah tetapi oleh kebencian melulu yang lebih bersifat
personal.
Termasyhur kata-kata ahli rohani, jika diri dikeji… telitilah,
muhasabahlah, apakah kejian itu sesuatu yang benar dan tepat? Jika benar
dan tepat, kejian itu mesti dilihat sebagai ’teguran’ daripada Allah
melalui lidah manusia. Koreksi dan perbaikilah diri segera. Namun
sekiranya kejian itu tidak benar, apa hendak dirisaukan? Bukan manusia
yang menentukan mudarat dan dosa. Biarkan ia berlalu, jangan takut
kepada orang yang mencerca!
Namun itu tidak bermakna kita jumud hingga merelakan diri untuk
sewenang-wenaangnya diperkotak-katikkan. Kesabaran perlu diiringi
kebijaksanaan. Tabah bukan mendedahkan diri untuk difitnah. Tanganilah,
hadapilah, kejian yang salah dengan cara yang betul. Hadapi emosi
sipengeji yang panas berapi dengan kepala sedingin salji.
Jadikanlah kemarahan itu sebagai ’pekerja’ dan diri kita sebagai
’majikan’nya. Biarlah marah yang bekerja untuk kita, bukan kita yang
bekerja untuknya. Jadi, mula-mula, tuluskanlah marahmu hanya kerana
Allah semata. Kemudian luruskanlah marah itu pada jalan yang
dibenarkan-Nya sahaja. Kemudian uruskanlah marahmu mengikut kadar dan
batasnya…
Jadikanlah marah umpama api di dapur hatimu. Panasnya, biar berpadanan.
Jangan terlalu kecil, hingga tindakan mu kelihatan ’mentah’. Jangan pula
keterlaluan hingga peribadimu hangus terbakar!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment